Site icon TechNave BM

Elon Musk ingin ganti logo burung biru Twitter kepada huruf X

Pemilik Twitter dan ahli perniagaan antarabangsa popular Elon Musk mengumumkan bahawa beliau ingin menukar logo perkhidmatan media sosial tersebut kepada huruf X. Sebelum ini, Twitter lebih terkenal dengan logo burung biru yang telah digunakan sejak penubuhannya pada 2006.

Selain menukar logo, Musk turut merancang untuk menukar warna tema daripada biru kepada hitam. Beliau berkongsi sebuah gambar dan video pendek yang menunjukkan huruf X dengan latar belakang berwarna hitam dan bertemakan angkasa lepas.

Malah, jika anda cuba menaip “X.com” dalam pelayar laman web, ia akan membawa anda ke laman web Twitter. Ini mungkin menandakan Musk akan turut menukar nama Twitter kepada X.

Beliau mengaku bahawa Twitter mengalami masalah untuk menarik minat para pengiklan ke dalam media sosial tersebut, jadi dengan penukaran logo ini, beliau berharap ia boleh mendapatkan semula perhatian oleh para pengiklan.

Tidak lama kemudian, CEO Twitter, Linca Yaccarino, memuat naik sebuah ciapan yang mengatakan Twitter akan diberi peluang kedua untuk membuat sebuah penampilan baharu, selepas perkhidmatan media sosial itu lebih dikenali dengan logo burung biru.

Sungguh pun begitu, langkah tersebut mungkin akan mengeruhkan lagi persepsi para pengguna terhadap Twitter kerana ia bakal mengasingkan lagi para peminat tegar Twitter. Ini adalah satu lagi pembaharuan kontroversi yang melanda Twitter sejak Musk mengambil alih pemilikannya pada Oktober 2022.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version