Site icon TechNave BM

Elon Musk ingin hadkan jumlah ciapan yang boleh dilihat dalam Twitter setiap hari

Bagi menyelesaikan masalah pengikisan data (data scraping) dan manipulasi sistem yang melanda Twitter sekarang, Elon Musk mencadangkan supaya para pengguna tidak boleh lagi melihat ciapan tanpa had, sebaliknya para pengguna nanti hanya boleh membaca ciapan dengan jumlah tertentu sahaja.

Dalam sebuah ciapan yang diterbitkan pada awal hari ini, Musk berkata Twitter akan mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca kepada 6000 sahaja sehari untuk akaun yang sah (verified accounts), 600 sahaja untuk akaun yang tidak sah (unverified accounts) dan 300 sahaja untuk akan tidak sah yang baru dicipta.

Tidak lama kemudian, had pembacaan ciapan itu dinaikkan kepada 10,000 sehari untuk akaun yang sah, 1,000 sehari untuk akaun tidak sah dan 500 sehari untuk akaun tidak sah yang baru dicipta.

Buat masa ini beliau masih belum memberikan maklumat lanjut atau penjelasan mengenai tindakan ini, namun beliau menyatakan ciapan yang mengumumkan tindakan ini telah memecah rekod jumlah pembacaan ciapan yang terbanyak.

Tindakan ini mendapat reaksi yang negatif daripada para pengguna, dengan ramai mengatakan ia bakal menjejaskan jumlah pengguna Twitter kerana pengguna kini tidak boleh lagi meluangkan masa yang banyak dalam media sosial itu.

Selain itu, tindakan ini diumumkan tidak lama selepas Musk mengumumkan bahawa hanya pengguna Twitter yang berdaftar sahaja yang boleh membaca sebarang ciapan. Ini bermaksud orang yang tidak berdaftar tidak boleh membaca ciapan langsung. Sebelum ini, orang yang tidak berdaftar masih boleh membaca ciapan namun mereka tidak boleh menulis.

Berkenaan masalah pengikisan data pula, ia dilaksanakan oleh pelbagai firma yang ingin melatih model AI mereka dengan membaca jutaan teks dalam platform media sosial seperti Twitter. Musk mengatakan ini adalah masalah yang sangat serius kerana ia menjejaskan pengalaman pengguna.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version