Site icon TechNave BM

Elon Musk ingin kenakan yuran bulanan untuk akaun Twitter yang ada “blue tick”

Selepas ahli perniagaan terkemuka Elon Musk mengambil alih pemilikan terhadap platform media sosial Twitter, beliau mengambil beberapa langkah drastik seperti memecat individu berjawatan tinggi dalam pengurusan syarikat itu.

Kini beliau mungkin akan memperkenalkan satu lagi langkah drastik di mana beliau merancang untuk memperkenalkan yuran bulanan buat akaun Twitter yang mempunyai pengiktirafan blue tick. Dalam sebuah ciapan, beliau ingin mengenakan yuran USD8 (~RM38) sebulan untuk pemilik akaun yang diiktiraf.

Sebelum ini, proses pengiktirafan blue tick boleh dimohon secara percuma dan ia selalunya digunakan oleh individu popular seperti selebriti, wartawan dan ahli politik. Walau bagaimanapun, Musk mengkritik sistem ini dengan menyifatkannya sebagai sebuah sistem untuk “bangsawan dan orang marhaen.”

Musk merancang untuk memberi beberapa keistimewaan kepada akaun yang diiktiraf, seperti keutamaan sewaktu membalas ciapan, memuat naik video dan audio yang lebih panjang dan iklan yang lebih sedikit dalam garis masa.

Beliau juga mengatakan proses pengiktirafan baharu ini mampu mengurangkan ciapan palsu (spam) atau penipuan (scam). Ini juga akan menjana pendapatan tambahan untuk Twitter bagi membantu lebih ramai pencipta kandungan.

Individu popular juga akan mempunyai huraian tambahan pada profilnya, seperti yang sedang diamalkan untuk ahli politik ternama. Untuk harga pula, ia akan disesuaikan mengikut kekuatan mata wang di setiap negara.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version