Equinix mengumumkan pelaburan lebih US$190 juta (~RM760 juta) bagi membangunkan pusat data KL2 di Cyberjaya yang sekali gus menjadi fasiliti keempat syarikat itu di Malaysia. Pusat data tersebut akan dibina kurang satu kilometer dari fasiliti KL1 sedia ada dan dijangka memperkukuh kedudukan Cyberjaya sebagai hab digital dan sambungan utama di rantau ASEAN.
Menurut Equinix, KL2 direka khusus untuk menyokong keperluan beban kerja AI dan high-performance computing (HPC) yang kini berkembang pesat di rantau ini. Apabila siap sepenuhnya, fasiliti itu bakal menawarkan lebih 2,200 kabinet dengan sokongan sistem penyejukan cecair bagi memenuhi permintaan pusat data generasi baharu berprestasi tinggi.
Equinix turut memaklumkan pembangunan KL2 adalah sebahagian strategi pengembangan jangka panjang syarikat di Malaysia termasuk perancangan tambahan kapasiti pada masa akan datang. Pelaburan terbaharu ini dilihat mengukuhkan lagi momentum Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan pusat data serantau khususnya dalam sektor AI dan infrastrusktur awan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

