Site icon TechNave BM

Ericsson Malaysia tubuhkan Pusat Operasi Rangkaian khusus untuk 5G DNB

Ericsson telah menubuhkan Pusat Operasi Rangkaian (NOC) di Malaysia khusus untuk rangkaian 5G Digital Nasional Berhad (DNB). NOC 5G DNB yang berpangkalan di premis Ericsson di Malaysia akan memantau, menyelenggara, mengurus kerosakan rangkaian, keselamatan dan KPI prestasi rangkaian DNB dengan memanfaatkan Enjin Operasi Ericsson.

NOC adalah sebahagian daripada tawaran Perkhidmatan Terurus Ericsson untuk rangkaian DNB 5G dan memerlukan pengurusan prestasi rangkaian 5G hujung-ke-hujung. Dikuasakan oleh analisis lanjutan dan algoritma pembelajaran mesin, Enjin Operasi Ericsson meramalkan potensi isu rangkaian yang disebabkan oleh perkakasan, perisian atau faktor luaran.

Ia juga akan menjadi titik perhubungan pertama untuk semua Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) (termasuk Unifi dan Yes) untuk isu teknikal, aduan pelanggan, prestasi rangkaian, perkara berkaitan kualiti, isu berkaitan bil dan caj.

David Hägerbro selaku Ketua Eksekutif Ericsson Malaysia mengatakan NOC mampu mengekalkan rangkaian 5G yang paling kompleks dan berskala besar sepanjang masa dan akan menjadi jaminan kepada MNO menggunakan rangkaian DNB 5G berkenaan prestasi dan kestabilan rangkaian DNB.

Menubuhkan NOC di Malaysia juga telah membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk diambil bekerja dan memperoleh kemahiran dalam teknologi terkini. Dengan 200 kontrak perkhidmatan terurus global, Ericsson telah membuktikan keupayaan dalam mengurus dan mengendalikan rangkaian berbilang teknologi.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Ericsson

Exit mobile version