Site icon TechNave BM

“Escobar Fold 2” sebenarnya hanyalah Samsung Galaxy Fold yang telah diubahsuai

Sebelum ini kami melaporkan bahawa syarikat milik adik penjenayah terkenal, Pablo Escobar, telah mengeluarkan produk telefon pintar lipat mereka sendiri iaitu Escobar Fold 2. Dengan harga serendah US$399 atau ~RM1,650, ramai yang musykil bagaimana syarikat itu boleh menghasilkan peranti yang begitu canggih dan dijual pada harga murah.

Namun hari ini kita boleh mengetahui bagaimana Escobar Inc boleh mengeluarkan produk tersebut. Escobar Fold 2 sebenarnya adalah Galaxy Fold yang telah diubahsuai dengan lapisan kertas bewarna keemasan dan latar belakang (wallpaper) dalam skrinnya pula diletakkan dengan gambar Pablo Escobar.

Pencipta video teknologi di YouTube, Marques Brownlee, telah membeli telefon tersebut dan mendedahkan bahawa telefon keemasan itu sebenarnya adalah Galaxy Fold. Beliau mengikis kertas bewarna emas di bahagian engsel telefon tersebut dan jenama Samsung boleh dilihat pada engsel itu.

Mungkin anda berfikir ini adalah cara yang baik untuk mendapatkan Galaxy Fold memandangkan harga asalnya boleh mencecah RM8,388! Namun kami menegaskan agar anda tidak membeli dari Escobar Inc ini kerana kemungkinan besar ia adalah scam. Marques sendiri mengalami pelbagai masalah selepas beliau membeli telefon tersebut dalam talian.

Macam-macam cerita orang sekarang ni ya? Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang kerenah keluarga Escobar ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: YouTube

Exit mobile version