Site icon TechNave BM

EU desak syarikat elektronik untuk lancarkan telefon pintar yang mudah dibaiki

Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan telah mendesak syarikat telefon pintar untuk membina telefon yang baterinya boleh ditukar dengan mudah. Kini dokumen terbaru menunjukkan EU ingin menguat kuasa peraturan yang lebih tegas terhadap pembinaan peranti elektronik.

EU sudah menggariskan beberapa prinsip kelestarian untuk mengurangkan impak yang dihasilkan oleh peranti-peranti elektronik, yang dinamakan The 9 Measures Against Obsolescence (9 Garis Panduan Untuk Mengelakkan Keusangan).

Daripada garis panduan itu, EU juga ingin memperkenalkan konsep the right to repair (hak untuk membaiki) bagi memanjangkan hayat peranti elektronik. Ini adalah kerana semakin banyak produk kini direka agar ia susah untuk dibaiki dan menggalakkan pengguna untuk menggantikannya terus.

Berikut adalah sembilan garis panduan yang dikeluarkan oleh EU:

1: Memperbaiki rekaan peranti dengan mengambil kira faktor-faktor seperti ketahanan usia, penggunaan semula oleh orang lain, penambah baikan pada masa akan datang dan kebolehan untuk membaiki secara sendiri.

2: Meningkatkan penggunaan bahan kitar semula sewaktu pembinaan.

3: Memudahkan proses kitar semula dan pembinaan semula yang bermutu tinggi.

4: Mengurangkan penggunaan arang dan impak kepada alam sekitar.

5: Mengurangkan produk sekali pakai dan tangani keusangan awal (premature obsolesence).

6: Memperkenalkan larangan terhadap kemusnahan produk yang tidak dapat dijual.

7: Menganggap produk sebagai sebuah perkhidmatan, di mana syarikat perlu ambil peranan dalam pemilikan dan tanggungjawab yang dibawa oleh peranti.

8: Menggalakkan pendigitalan produk seperti panduan pengguna.

9: Menilai produk berdasarkan kelestarian mereka.

Adakah anda inginkan telefon yang mudah dibaiki atau anda lebih gemar menukar telefon dalam tempoh tertentu? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge, Gizchina

Exit mobile version