PRO-NET, anak syarikat PROTON, telah mencatat pencapaian membanggakan apabila Proton e.MAS 7, kenderaan elektrik (EV) pertama syarikat, menerima lebih 2,500 tempahan dalam tempoh yang singkat. Proton e.MAS 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium dengan bateri berkapasiti 49.52 kWh dan 60.22 kWh.
EV ini mampu mencapai jarak WLTP sehingga 410 km dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW. Harga bermula dari RM109,800 bagi varian Prime dan RM123,800 untuk Premium. Sebagai promosi khas untuk 3,000 pelanggan pertama, rebat RM4,000 diberikan.
Dengan ciri inovatif dan peta pengecasan komprehensif yang diakses melalui Aplikasi Proton e.MAS, EV ini direka khas untuk memenuhi keperluan rakyat tempatan. Pelanggan juga akan menikmati Pakej Kuasa Pelancaran bernilai RM8,000 termasuk pengecas rumah percuma, adaptor V2L, data internet tanpa had serta jaminan kenderaan dan bateri yang meluas.
Tempahan kini dibuka di 30 bilik pameran Proton e.MAS di seluruh negara atau secara dalam talian melalui laman web rasmi. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Proton e.MAS 7 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

