Site icon TechNave BM

Facebook akan uji Live Audio Rooms, fungsi perkongsian audio mirip Clubhouse

Dengan peningkatan populariti aplikasi perkongsian audio Clubhouse sejak awal tahun ini, pelbagai perkhidmatan media sosial lain ingin turut menawarkan fungsi serupa. Kini Facebook pula telah membangunkan fungsi Live Audio Rooms dan mula mengujinya sejak 15 Jun jam 1:00 petang EDT (16 Jun 1:00 pagi waktu Malaysia).

CEO Facebook Mark Zuckerberg telah menggunakan fungsi audio baru itu bersama naib presiden Facebook Andrew Bosworth, ketua aplikasi Facebook Fidji Simo dan tiga orang penyiar (streamer) Facebook Gaming. Mereka berbincang tentang penyiaran game dalam platform tersebut serta fungsi baru untuk Facebook Gaming termasuklah “Looking For Players” yang membenarkan pengguna mencari rakan baru untuk main game bersama-sama.

Penggunaan Live Audio Room adalah serupa dengan Clubhouse atau Twitter Spaces, di mana gambar profil penganjur (host) akan ditunjukkan di bahagian atas skrin, manakala pendengar pula akan dibariskan pada bahagian bawah skrin. Pengguna yang sedang bercakap akan mempunyai gambar profil yang menyala manakala akaun yang diiktiraf (verified) pula akan mempunyai tanda biru.

Dua tangkapan skrin yang menunjukkan antara muka untuk Live Audio Room
Pengguna boleh berkongsi sebuah Live Audio Room

Pendengar boleh memberi reaksi kepada orang yang bercakap dengan menggunakan butang thumbs up di bahagian bawah. Audio Room juga boleh dikongsi sebagai sebuah kiriman dalam profil Facebook. Walau bagaimanapun, pengguna tidak mempunyai fungsi untuk “mengangkat tangan” atau menyertai penganjur bagi menjadi seorang pengucap dalam sebuah Live Room.

Live Audio Rooms akan ditawarkan kepada pengguna iOS dan Android, namun setakat ini masih tiada maklumat tentang pelancaran rasmi untuk pengguna awam. Selain itu, masih tidak pasti jika Facebook akan mengabaikan projek Hotline yang menawarkan fungsi mirip Clubhouse.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mencuba fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Tech Crunch

Exit mobile version