Site icon TechNave BM

Facebook kini ada “Verified” percuma, boleh bezakan akaun AI dan manusia

Meta secara rasmi memperkenalkan Facebook Verified iaitu lencana percuma baharu yang mengesahkan bahawa sesebuah profil itu dikendalikan oleh manusia sebenar. Langkah ini diambil bagi membantu pengguna mengenalpasti akaun tulen kerana peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan penghasilan profil, mesej dan kandungan palsu.

Proses pengesahan menggunakan kaedah rakaman video swafoto pendek yang akan dipadankan dengan gambar profil sedia ada pengguna. Seluruh proses ini adalah percuma, tidak memerlukan sebarang yuran langganan dan biasanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk diselesaikan.

Pengguna hanya perlu melakukan pengesahan sekali sahaja untuk membolehkan lencana tersebut dipaparkan pada profil mereka. Lencana Facebook Verified akan dipaparkan di bahagian utama platfrom seperti Facebook Marketplace, Facebook Dating, Facebook Groups dan halaman profil pengguna.

Meta turut merancang untuk memperluaskan paparan lencana ini ke hantaran di bahagian Feed pada masa akan datang. Penebusan lencana ini terhad kepada pengguna individu berumur 18 tahun ke atas yang mematuhi Piawaian Komuniti Meta, khusus bagi mereka yang tiada rekod penipuan, fraud atau tingkah laku tidak tulen.

Buat masa ini, ia tidak ditawarkan untuk akaun Halaman (Pages) atau akaun mod profesional (ProMode). Facebook Verified dilancarkan secara berfasa bermula di pasaran terpilih sebelum diperluaskan secara global. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Meta

Exit mobile version