Site icon TechNave BM

Facebook lancarkan aplikasi Hotline, tampilkan fungsi audio mirip Clubhouse

Facebook hari ini telah melancarkan sebuah aplikasi baru bernama Hotline yang membenarkan pengguna untuk berkongsi audio kepada para pengikut mereka. Aplikasi ini boleh menggabungkan klip audio dengan elemen teks dan video pendek.

Hotline adalah perkhidmatan perkongsian audio terbaru yang dipopularkan oleh Clubhouse sejak awal tahun ini. Ia juga merupakan projek terbaru di bawah divisyen New Product Experimentation (NPE) dalam Facebook yang membina pelbagai jenis aplikasi menarik dan berlainan daripada perkhidmatan Facebook sedia ada.

Seorang wakil Facebook mengatakan Hotline disasarkan kepada “golongan pakar” yang mahu berkongsi panduan atau tips dalam pelbagai bidang seperti kesihatan atau kewangan. Facebook juga sedang melihat bagaimana Hotline boleh menaikkan nilai (upvote) soalan yang ditanyakan di situ.

Buat masa ini, pengguna Hotline boleh mengumpul seberapa banyak pengikut yang mereka boleh tarik, tanpa sebarang had nombor. Pengguna juga boleh membuang mana-mana soalan yang dimuat naik dan Facebook juga mengatakan mereka bakal meneliti Hotline untuk sebarang kandungan yang tidak diinginkan.

Hotline merupakan aplikasi mirip Clubhouse yang terbaru, selepas Twitter Spaces dan Mi Talk. Buat masa ini, ia masih tidak boleh diakses oleh rakyat Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang perkhidmatan terbaru Facebook ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version