Site icon TechNave BM

Facebook lancarkan fungsi perkongsian Live Audio Room dan Podcast kepada orang awam

Pada awal bulan ini, Facebook telah menguji fungsi perkongsian audio Live Audio Room yang membenarkan pengguna untuk menganjurkan sesi ucapan digital bersama para pengikut mereka, serupa dengan fungsi yang diperkenalkan oleh Clubhouse pada awal tahun ini. Kini, Facebook telah pun melancarkan fungsi tersebut untuk kegunaan orang awam di Amerika Syarikat.

Pengguna boleh menganjurkan sebuah bilik ucapan secara langsung (live audio room) serta menjemput sehingga 50 orang pengucap (speakers) dan bilangan pendengar yang tidak mempunyai had. Tidak seperti Clubhouse, fungsi ini terbuka kepada semua pengguna Facebook dengan akaun yang boleh dibuat tanpa sebarang jemputan.

Bilik audio akan muncul dalam Suapan Berita (News Feed) atau pemberitahuan (notifications) jika pengguna melanggan kepadanya. Pendengar boleh berkongsi bilik audio kepada rakan-rakan mereka, mengaktifkan kapsyen secara langsung (live captions) dan gunakan butang reaksi untuk berinteraksi dengan pengucap.

Seperti Facebook Gaming, pendengar boleh berada dalam barisan hadapan (front row) dengan menghantar Stars yang boleh dibeli, dan penganjur akan menarik perhatian mereka yang berada dalam barisan hadapan dengan lebih mudah. Penganjur bilik ucapan juga boleh mengadakan kutipan dana untuk sebarang badan kebajikan.

Setakat ini ia masih belum dibuka untuk pasaran Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Facebook

Exit mobile version