Site icon TechNave BM

Facebook Messenger kini tetapkan penyulitan hujung ke hujung untuk sembang dan panggilan

Hari ini, Meta telah memperkenalkan penambahbaikan terbesar pada Messenger sejak ia mula dilancarkan pada 2011. Kini, penyulitan hujung ke hujung menjadi tetapan asal untuk sembang peribadi dan panggilan di Messenger Facebook.

Ini bermakna komunikasi anda selamat dan tidak boleh diintip oleh orang lain termasuk Meta sendiri. Setelah dikemas kini, Messenger akan meminta pengguna menyediakan PIN sekiranya mereka perlu memulihkan mesej pada peranti baharu kemudian.

Pelancaran global mungkin mengambil masa beberapa bulan kerana aplikasi itu mempunyai lebih satu bilion pengguna. Penyulitan hujung ke hujung menjadi pilihan untuk Messenger pada tahun 2016 tetapi Meta jelas meningkatkan usaha keselamatannya untuk menjadikan penyulitan tersebut sebagai tetapan asal.

Selain itu, terdapat kemas kini akan datang bagi kualiti imej yang lebih baik untuk foto dan video di platform. Dilaporkan, Messenger sedang menguji perkongsian media HD dengan kumpulan ujian kecil sebelum melancarkannya dalam beberapa bulan akan datang.

Komen di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Facebook

Exit mobile version