Site icon TechNave BM

Facebook perkenalkan Messenger Rooms untuk panggilan video secara berkumpulan

Sewaktu perintah berkurung di seluruh dunia dikuat kuasakan untuk membendung penularan wabak COVID-19, perisian panggilan video seperti Zoom rancak digunakan untuk mengendalikan mesyuarat dalam talian atau berhubung dengan orang tersayang. Kini Facebook juga mengeluarkan perisian panggilan videonya sendiri yang dinamakan Messenger Rooms.

Dengan Messenger Rooms, pengguna Facebook boleh menganjurkan sebuah panggilan video yang boleh disertai sehingga 50 orang. Untuk menjemput pengguna Facebook lain menyertai sesuatu panggilan, penganjur boleh memberitahunya di ruangan suapan berita (News Feed) dalam profil mereka, kumpulan (Groups) atau laman (Pages).

Seperti Zoom, Messenger Room juga tidak memerlukan semua peserta untuk mempunyai akaun Facebook. Sebaik sahaja sebuah ‘room’ diciptakan, sesiapa sahaja boleh menyertainya melalui pelayar (browser) mereka namun penganjur masih boleh ‘mengunci’ room mereka untuk mengelakkan peserta yang tidak diundang.

Messenger Rooms masih belum boleh didapati secara meluas, namun ia akan mula diberikan beransur-ansur kepada orang ramai. Memandangkan Facebook sudah pun mempunyai ratusan juta pengguna, Messenger Rooms adalah satu alternatif yang menarik kepada Zoom.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan Messenger Rooms dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Facebook Blog

Exit mobile version