Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil akan jumpa pihak TikTok untuk bincang isu keselamatan kanak-kanak

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan bermesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital Gobind Singh Deo tentang pelaksanaan jawatankuasa untuk isu keselamatan dalam talian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Bagi mencapai sasaran tersebut, beliau akan bertemu dengan pihak TikTok dan platform media sosial lain selepas perayaan Tahun Baharu Cina untuk bincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian. Kementeriannya akan bertemu dengan beberapa kementerian lain termasuklah Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak.

Beliau berkata aspek kawal selia sangat diperlukan untuk beberapa aspek, seperti memantau isu pemilikan akaun TikTok dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun. Langkah-langkah keselamatan kanak-kanak akan menjadi keutamaan kerajaan dan akan memastikan pematuhan undang-undang sedia ada melalui media sosial.

Sementara kerajaan sedang melihat tindakan-tindakan yang boleh diambil daripada segi perundangan, beliau meminta guru-guru di sekolah untuk memberitahu kepada ibu bapa dan kanak-kanak supaya berhati-hati dengan apa yang mereka peroleh daripada media sosial, termasuklah video TikTok dan audio podcast.

Baru-baru ini, isu keselamatan kanak-kanak dalam media sosial seperti TikTok telah hangat diperkatakan, terutamanya apabila CEO Meta, TikTok, X, Snapchat dan Discord telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kehakiman Senat Amerika Syarikat (AS) pada 31 Januari lalu berkenaan isu tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version