Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil: Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak patut miliki akaun media sosial

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak memiliki sebarang akaun media sosial. Kenyataan ini dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kerana agensi itu berpendapat mereka masih belum sesuai menggunakan mana-mana platform media sosial.

Pendirian ini turut diambil oleh beberapa platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram yang tidak membenarkan kanak-kanak bawah 13 tahun untuk menggunakannya.

Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka memiliki akaun media sosial, mereka boleh memaklumkannya kepada MCMC dan akaun tersebut akan dipadamkan.

Buat masa ini, beliau menjelaskan bahawa pihak media sosial membenarkan pembukaan akaun baharu tanpa sebarang kaedah pembuktian untuk umur pengguna, jadi ini membuka peluang kepada kanak-kanak untuk membuat akaun media sosial.

Susulan itu, kementeriannya telah bertemu dengan beberapa pihak berkaitan seperti Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) dan Telegram untuk mengemukakan cadangan tentang isu pemilikian akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 13 tahun.

Beliau berharap pada bulan Mei nanti, terdapat pengumuman tentang perbincangan dengan semua platform media sosial, khususnya berhubung keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version