Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil: Kerajaan akan bincang mengenai model rangkaian dwi 5G minggu depan

Satu mesyuarat mengenai model rangkaian dwi 5G dijangka diadakan minggu depan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Beliau mendedahkan perkara ini semasa pelancaran Cybersecurity Center of Excellence (CCOE) di Cyberjaya.

Fahmi berkata bahawa mereka perlu mengadakan mesyuarat terlebih dahulu dan menilai keadaan semasa. Beliau menjangkakan mesyuarat itu diadakan pada minggu hadapan. Tambahnya lagi, beliau bersama-sama wakil dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Digital akan membincangkan rangkaian dwi 5G.

Beliau juga menjelaskan bahawa Menteri Digital menyelia Digital Nasional Bhd (DNB) manakala kementeriannya memberi tumpuan kepada landskap keseluruhan berkaitan spektrum dan infrastruktur. Kini, liputan rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai 80.2% di kawasan berpenduduk setakat 10 Januari 2024, sedikit melebihi sasaran yang ditetapkan.

Kerajaan merancang untuk mengguna pakai model rangkaian dwi 5G sebaik sahaja DNB mencapai matlamatnya untuk mencapai liputan 5G 80% di negara ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version