Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kerajaan kekal komited untuk melaksanakan dasar rangkaian 5G kedua. Beliau berkata syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam model rangkaian 5G kedua akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun ini.
Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula. Dalam pertemuan dengan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong yang berlangsung lebih 40 minit, Fahmi berkata mereka membincangkan pelbagai isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.
Fahmi berkata pembangunan rangkaian kedua itu hanya akan dibuka kepada syarikat telekomunikasi yang telah melengkapkan pegangan ekuiti dalam DNB. Tambahnya, walaupun pelaksanaan rangkaian 5G kedua bersifat komersial, kerajaan telah memutuskan dasar untuk memacu persaingan dan memastikan kelestarian ekosistem telekomunikasi di Malaysia.
Fahmi juga berkata potensi teknologi direct-to-cell melibatkan satelit orbit bumi rendah untuk membantu menangani isu sambungan internet di kawasan terpencil dan tempat yang tiada akses internet.
Dalam berita lain, Maxis sedia untuk memuktamadkan proses perjanjian langganan saham (SSA) Digital Nasional Berhad (DNB) sejajar dengan terma-terma SSA tersebut dan menandatangani Perjanjian Pemegang Saham (SHA) dengan DNB untuk rangkaian 5G kedua.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Facebook Fahmi Fadzil

