Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil: Malaysia boleh manfaatkan teknologi AI dari China

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Malaysia boleh meneroka dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu dari China bagi menyesuaikannya dengan kegunaan negara. Beliau berkata demikian sewaktu membuat lawatan kerja ke China untuk melihat kegunaan AI dalam bidang telekomunikasi, media, penyiaran dan perfileman.

Sebagai contoh, kerjasama antara Altel dan Geespace yang ditandatangani di China dalam bidang teknologi satelit khususnya direct-to-cell, boleh menyelesaikan masalah kesalinghubungan di kawasan-kawasan terpencil.

Selain itu, teknologi alih bahasa secara real-time boleh digunakan untuk industri perfileman bagi menarik minat penonton. Teknologi AI juga boleh digunakan untuk membuat penyiaran dalam definisi ultra tinggi 8K, seperti yang dilaksanakan oleh China Media Group.

Susulan itu, beliau menggesa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menghasilkan kandungan yang boleh dieksport ke China dan menarik minat rakyat di situ untuk melawat Malaysia.

Seiring dengan keperluan teknologi AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mengambil para pelajar pertama yang akan ditempatkan dalam Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). Fakulti tersebut merupakan fakulti AI pertama di Malaysia dan seramai 101 pelajar telah menjadi kohort pertama untuknya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA, UTM

Exit mobile version