Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil: Meta, TikTok komited untuk elakkan penyebaran berita palsu, isu 3R

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah bertemu dengan wakil daripada pihak Meta dan TikTok bagi meningkatkan keselamatan dalam talian untuk golongan kanak-kanak bawah umur 13 tahun serta pemantauan kandungan berunsurkan jenayah seperti judi, penipuan (scam), berita palsu dan isu 3R (bangsa, agama dan institusi diraja).

Hasil daripada pertemuan tersebut, kedua-dua perkhidmatan media sosial bersetuju untuk meningkatkan komitmen mereka terhadap semua aspek di atas. Sebelum ini, beliau pernah menyatakan kerisauan terhadap kanak-kanak yang memiliki akaun TikTok, meskipun garis panduan komuniti TikTok menyatakan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun.

Fahmi juga berkata jika syarikat-syarikat media sosial gagal menangani isu-isu tersebut, kementeriannya akan mengambil beberapa tindakan terhadap mereka dan pihak-pihak berkaitan. Meta dan TikTok telah diberi makluman tentang perancangan kerajaan dalam menambah baik undang-undang dan garis panduan operasi platform media sosial dalam Malaysia.

Walaupun dengan undang-undang tersebut, beliau masih mementingkan hak rakyat Malaysia untuk bersuara sambil memastikan kegunaan internet yang produktif, harmoni dan selamat.

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang menyatakan bahawa kenyataan sensitif yang melibatkan agama, perkauman dan kebencian pada suku pertama 2024 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 123 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas. Beliau mengingatkan orang ramai supaya saling menghormati dan bertolak ansur terhadap pelbagai komuniti dalam Malaysia ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version