Site icon TechNave BM

Fahmi Fadzil umumkan WhatsApp AI Chatbot untuk kekang penyebaran berita palsu

Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil telah mengumumkan sebuah chatbot yang dikuasakan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam platform permesejan WhatsApp bagi membendung penularan berita palsu dalam platform tersebut.

Chatbot tersebut boleh mengesan kesahihan maklumat yang dikongsi secara meluas dalam aplikasi WhatsApp yang digunakan oleh ramai rakyat Malaysia. Buat masa ini, ia hanya boleh mengimbas maklumat dalam bentuk teks, namun ia akan dibangunkan lagi supaya ia boleh mengimbas gambar dan video pada masa hadapan.

Dengan AI, chatbot itu boleh mengesan sama ada sesebuah video itu adalah video lama atau pun sama ada tindakan telah diambil terhadap isu yang ditunjukkan dalam video tersebut. Ramai orang berkongsi video yang datang daripada Facebook atau Tiktok, ke dalam WhatsApp dan mereka ingin mengetahui kesahihan video tersebut.

Versi chatbot yang boleh mengimbas maklumat teks akan dilancar dalam masa terdekat, dan ia boleh mengimbas teks dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Fahmi mengatakan penyahihan AI untuk sebuah maklumat itu akan mengambil masa beberapa saat sahaja.

Beliau juga memberi jaminan bahawa chatbot ini adalah selamat untuk digunakan. Pada masa yang sama, rakyat dinasihati supaya berwaspada dengan setiap maklumat yang dikongsi dalam WhatsApp. Jika anda tidak pasti tentang kebenaran sesuatu maklumat, jangan kongsikannya kepada orang lain.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Borneo Post

Exit mobile version