Site icon TechNave BM

Fahmi: Kementerian Digital perlu pisah dari Kementerian Komunikasi untuk tumpu sektor ekonomi digital

Sejak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital sewaktu rombakan Kabinet pada Selasa lalu, ramai menanyakan jika pemisahan itu perlu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia dilihat sebagai tindakan yang agak merunsingkan.

Bagi menjelaskan isu tersebut, Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil berkata pemisahan ini perlu bagi memberi fokus khusus dan menyelaras dasar dalaman untuk memperkasakan sektor ekonomi digital negara. Sebelum ini, pengendalian sektor ekonomi digital ditangani oleh empat kementerian dan beliau berpendapat ia perlu diselaraskan bawah satu kementerian sahaja.

Dalam kabinet sebelumnya, aspek startup dan venture capital ditangani oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, aspek skill-up dan kewujudan kilang ditangani oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang berada bawah KKD, aspek pelaburan ditangani oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang berada bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan aspek pelaporan pula ditangani oleh MyDigital Corp yang berada bawah Kementerian Ekonomi.

Dalam kabinet baharu ini, semua agensi di atas akan dikumpulkan bawah satu kementerian khusus dan membenarkan beliau untuk memberi fokus terhadap sektor ekonomi digital negara. Satu lagi agensi yang dipindahkan ke Kementerian Digital adalah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang sebelum ini berada bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga menyatakan pemisahan kementerian itu penting kerana sektor ekonomi digital negara dijangka akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 25.5 peratus menjelang 2025.

Fahmi menafikan kenyataan bahawa kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim memisahkan KKD kepada dua kementerian baharu bagi menyelamatkan kerjaya politiknya.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version