Site icon TechNave BM

Fitbit Ace 3 diumum di Malaysia: Gelang tangan kesihatan kalis air dengan bateri 8 hari berharga RM328

Fitbit Malaysia hari ini telah mengumumkan gelang tangan pintar terbaru Fitbit Ace 3 yang dikhaskan untuk kegunaan kanak-kanak seawal 6 tahun dan menampilkan rekaan berwarna terang serta fungsi yang menyeronokkan.

Fitbit Ace 3 menampilkan pelbagai fungsi yang direka untuk menarik minat kanak-kanak dalam menjaga kesihatan mereka, seperti jam muka yang mempunyai pelbagai animasi untuk membantu mereka capai sasaran senaman harian. Ia mempunyai bateri yang boleh tahan sehingga lapan hari serta kalis air. Produk ini dilengkapi fungsi jejakan masa tidur dan penggera bagi membantu pemakai dan ibu bapa untuk mengamalkan jadual tidur yang cukup.

Fitbit Ace 3 dalam warna Cosmic Blue/Astro Green dan Core Black/Sport Red

Muka jam Fitbit Ace 3 juga menampilkan animasi haiwan menarik yang bertukar apabila pemakai mencapai sasaran senaman pada setiap hari. Dalam masa terdekat, produk ini juga akan menerima kemas kini yang memperkenalkan watak Minions dalam muka jam dan fungsi senaman.

Buat ibu bapa pula, mereka boleh mengakses aplikasi Fibit untuk melihat aktiviti anak-anak mereka melalui Parent View serta mengawal kandungan apakah yang boleh dilihat oleh anak-anak. Fitbit Ace 3 telah direka menurut garis panduan perlindungan kanak-kanak seperti Children’s Online Privacy Protection Act (COPPA) dari Amerika Syarikat dan General Data Protection Regulation (GDPR) dari Eropah

Fitbit Ace 3 akan mula dijual pada 29 Mac dengan harga RM328 di Fitbit.com dan pengedar sah di seluruh negara. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti boleh pakai ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version