Site icon TechNave BM

Fon kepala Razer Opus X dilancar: Dilengkapi ciri ANC, pemacu 40mm, harga serendah ~RM407

Semalam, Razer telah mengumumkan kehadiran fon telinga wayarles terbaru mereka iaitu Razer Opus X. Yang menarik, peranti ini hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC) dan ia adalah $100 (~RM411) lebih murah berbanding Razer Opus.

Opus X dilengkapi pemacu sebesar 40mm yang terletak di dalam pad telinga nilon. Untuk ciri ANC, ia menggunakan mikrofon di luarnya untuk mengesan dan memantas bunyi ambien. Selain dari itu, Opus X juga mempunyai mod Quick Attention yang membolehkan bunyi luar masuk ke dalam pembesar suara.

Opus X menyokong Bluetooth 5.0 dan mampu menawarkan latensi serendah 60ms jika menggunakan mod Gaming. Peranti ini juga mempunyai bateri yang bertahan selama 30 jam dengan ciri ANC diaktifkan (40 jam tanpa ciri ANC).

Fon kepala ini mempunyai berat 270g dan dicas menggunakan port USB-C.

Perbezaan antara Opux X dengan Opus yang lebih mahal adalah Opus X tidak mempunyai sebarang penjenamaan THX kerana ia tidak disahkan oleh THX. Opus X juga tidak boleh menukar mod wayarles ke berwayar dan ia mempunyai bateri yang lebih kecil.

Razer Opus X dijual pada tanda harga $99 (~RM407) dengan tiga pilihan warna. Buat masa ini, peranti ini belum lagi memasuki pasaran Malaysia secara rasmi.

Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : GSMArena

Exit mobile version