Site icon TechNave BM

Fon kepala wayarles ini boleh dicas dengan tenaga suria untuk penggunaan tanpa henti

Syarikat audio dari Sweden, Urbanista, telah memperkenalkan sebuah fon kepala wayarles pertama dalam dunia yang boleh dicas menggunakan tenaga suria, bernama Urbanista Los Angeles. Mereka mengatakan fungsi ini mampu menjana tenaga yang cukup untuk fon kepala tersebut sepanjang masa dan tidak akan kehabisan bateri.

Urbanista mengatakan produk ini boleh menukarkan pelbagai bentuk cahaya, termasuklah daripada lampu dan matahari, kepada tenaga elektrik untuk mengecas bateri dalam fon kepala dan mengoperasikan produk tersebut. Pengecasan daripada cahaya matahari selama sejam akan membekalkan tenaga yang cukup untuk penggunaan selama tiga jam.

Manakala untuk pengecasan daripada lampu pula, ia tidak akan mengecas bateri namun akan menyediakan tenaga yang cukup untuk menjanakan fon kepala tersebut. Urbanista Los Angeles dilengkapi bateri 750mAh yang boleh memainkan muzik selama 50 jam.

Untuk spesifikasi lain, ia dilengkapi pemacu neodymium 40mm dengan tindak balas frekuensi 20Hz hingga 20kHz, pembatalan hingar aktif (ANC), pengecasan melalui port USB-C dan sokongan Google Assistant serta Apple Siri. Ia akan dijual pada harga GBP169 (~RM960).

Jika konsep ini mampu berfungsi dengan baik, tidak mustahil jenama audio lain akan berbuat sedemikian. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan konsep ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Wired UK

Exit mobile version