Site icon TechNave BM

Fon telinga wayarles Black Shark JoyBuds dan tetikus Mako M1 dilancar, tawarkan pengalaman “gaming” terbaik

Black Shark kini mengembangkan aksesori gaming terbaru iaitu Black Shark JoyBuds dan Black Shark Mako M1 Gaming Mouse yang direka untuk pengalaman gaming terbaik bagi pemain mudah alih dan PC.

Black Shark JoyBuds merupakan produk pertama fon telinga wayarles (TWS) syarikat ini dan kini, mereka telah tiba ke pasaran Malaysia. Ia menampilkan teknologi Bluetooth 5.2 yang menawarkan penyambungan stabil sambil mengekalkan kependaman (latency) audio 85ms. Pemacu 14.2mm dengan diafragma komposit plat titanium Joybuds dapat meningkatkan bunyi dan kejelasan audio serta bass dengan teknologi Bass Boost Inverted Tube. 

Teknologi dwi mikrofon ENC (Environmental Noise Cancellation) menyekat bunyi persekitaran untuk kejelasan perbualan ketika bermain game. Dengan berat 4.5g, Joybuds ini direka secara ergonomik dan mempunyai rongga set kepala pendek untuk keselesaan sepanjang hari. Setiap fon telinga mempunyai kapasiti penggunaan berterusan sehingga 6 jam. Sarungnya membekalkan hayat 28 jam dan boleh mengecas Joybuds sepenuhnya dalam 1.5 jam.

Black Shark JoyBuds dapat mengesan di mana audio akan berhenti secara automatik apabila Joybuds ditanggalkan dan menyambung semula audio apabila dipakai. Kawasan kawalan sentuh pada setiap fon telinga memberi akses untuk menjawab dan menamatkan panggilan, kawalan bunyi audio, main/jeda (play/pause) dan melangkau trek dengan gerakan isyarat.

Seterusnya, Black Shark Mako M1 adalah tetikus permainan dwi-mod berwayar dan wayarles untuk memenuhi keperluan semua pemain. Anda boleh menggunakan mod berwayar sekiranya bimbang kehabisan kuasa ketika bermain game atau menggunakan bateri dengan mod wayarles. Ia menampilkan cangkerang sarang lebah yang boleh diganti serta mengurangkan berat kepada 90 gram apabila digunakan dalam mod berwayar (tanpa bateri).

Profilnya neutral dan ergonomik untuk pegangan tapak tangan dan hujung jari yang selesa. Penderia optik DPI 10,000 pada tetikus boleh diselaraskan mengikut pilihan dan keperluan anda di Black Shark Gaming Software. Enam butang boleh atur cara dan kesan pencahayaan juga boleh ditetapkan pada perisian yang sama. Ia menawarkan pencahayaan sekeliling RGB dengan enam mod paparan termasuk kitaran warna, pelangi, pernafasan, nadi, gelombang dan warna tetap.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version