foodpanda Malaysia hari ini melancarkan pandaxpress di Berjaya Times Square yang memperkenalkan perkhidmatan ambil pesanan pusat beli-belah bersepadu pertama di Malaysia. Melalui sistem tersebut, rakan penghantar kini boleh mengambil beberapa pesanan serentak di satu lokasi pusat tanpa perlu berulang-alik ke pelbagai vendor dalam pusat beli-belah.
Menerusi pandaxpress, petugas pengutip khas akan mengambil pesanan daripada pelbagai kedai sebelum menggabungkannya di sebuah kios pusat untuk diambil rider. foodpanda berkata pendekatan ini membantu mengurangkan pergerakan rider di dalam pusat beli-belah selain mempercepatkan proses penghantaran kepada pelanggan.
Dalam tempoh 30 hari pertama percubaan, pandaxpress mencatatkan peningkatan sekitar 6% dalam jumlah pesanan berjaya berbanding Disember 2025. Pada masa sama, purata masa penghantaran turut bertambah baik hampir 10% sepanjang tempoh ujian tersebut. Menariknya, foodpanda mendedahkan jumlah vendor aktif meningkat lebih 50% sejak sistem itu diperkenalkan.
Dengan pelancaran ini, Malaysia kini menyertai pasaran seperti Filipina dan Qatar yang sudah menawarkan perkhidmatan pusat beli-belah bersepadu di bawah rangkaian Delivery Hero. foodpanda Malaysia berkata mereka merancang memperluaskan pandaxpress ke beberapa pusat beli-belah lain dalam tempoh setahun akan datang.
Bersempena pelancaran, foodpanda menawarkan potongan RM10 menggunakan kod “SYOK10” untuk pesanan makanan daripada vendor terpilih di Berjaya Times Square menerusi aplikasi foodpanda. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

