Site icon TechNave BM

foodpanda lancarkan insurans kemalangan tambahan untuk para penghantar, bermula RM3 sebulan

foodpanda Malaysia memperkenalkan skim insurans kemalangan tambah nilai foodpanda Protect+ yang memberi perlindungan sepanjang masa kepada rakan penghantar foodpanda dan waris mereka.

Dengan harga bermula RM3 sebulan, penghantar akan diberi perlindungan tambahan 24 jam di seluruh dunia untuk kematian, hilang keupayaan dan kemasukan hospital akibat kemalangan. Ia juga boleh diperluaskan untuk merangkumi pasangan dan sehingga dua orang anak dengan yuran bulanan RM6, manakala setiap anak berikutnya perlu ditambah sebanyak RM1 sebulan.

Untuk para penghantar yang masih bujang, insurans ini boleh diperluaskan untuk melindungi ibu bapa mereka pada harga yang sama.

foodpanda Protect+ ialah tambahan kepada pelan perlindungan insurans percuma yang diberikan kepada semua rakan penghantar foodpanda sewaktu melakukan tugas penghantaran. Pelan ini menawarkan jumlah maksimum RM100,000 jika terdapat kematian akibat kemalangan atau hilang keupayaan kekal sewaktu menghantar makanan.

Pihak foodpanda turut berkata mereka akan sentiasa mengumpulkan maklum balas daripada penghantar untuk meningkatkan pengalaman mereka semasa membuat penghantaran. Aplikasi penghantar juga akan kerap dikemas kini bagi menghasilkan pengalaman lancar dan membenarkan mereka untuk memperolehi mata ganjaran bagi mendapatkan barangan rider yang eksklusif.

Layari laman web Pandariders untuk maklumat lanjut mengenai insurans ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version