Site icon TechNave BM

foodpanda memperkenalkan kaedah Penghantaran Tanpa Sentuh dalam setiap pesanan mulai 18 Mac

Sebagai langkah berjaga-jaga dalam Perintah Kawalan Pergerakan, foodpanda akan memperkanalkan sebuah kaedah baru dalam menyediakan perkhidmatannya. Bermula 18 Mac, kaedah Penghantaran Tanpa Sentuh akan diamalkan oleh para penghantar makanan.

Kaedah ini adalah sesuatu yang boleh dipilih sewaktu memesan makanan melalui aplikasi tersebut. Jika anda berminat untuk menggunakan kaedah baru ini anda perlu memilih bayaran secara dalam talian (online payment). Kemudian, anda perlu berhubung dengan penghantar foodpanda dan maklumkan kepada beliau bahawa anda telah memilih Penghantaran Tanpa Sentuh. Sementara itu, penghantar juga boleh memaklumkan kepada pelanggan jika beliau inginkan kaedah tersebut.

Pelanggan dan penghantar kemudian perlu menetapkan di mana makanan itu akan dihantar (drop off point). Apabila pesanan makanan sampai, penghantar akan memaklumkan kepada pelanggan melalui teks atau panggilan telefon dan mereka harus mengekalkan jarak satu meter di antara mereka. Pelanggan perlu mengesahkan pesanannya selepas menerima makanan.

Pengarah Pengurusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das, telah mengarahkan semua penghantar foodpanda untuk membawa hand sanitiser dan memakai topeng muka sepanjang melaksanakan tugas mereka serta membasuh tangan selepas setiap penghantaran dan setiap dua jam.

Adakah ini akan meningkatkan keyakinan anda terhadap perkhidmatan foodpanda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. Ayuh, bersama kita harungi waktu yang mencabar ini!

Exit mobile version