Site icon TechNave BM

Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga RM928

Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99. Kamera ini mempunyai fungsi menarik di mana ia boleh mencetak terus gambar yang diambil dengan kertas filem khas.

Ia menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding instax mini 90 sebelum ini, seperti Kawalan Kesan Warna (Colour Effect Control) yang mengaplikasikan cahaya warna berlainan secara terus ke atas filem, dengan enam ekspresi warna yang berbeza.

Reka bentuk instax mini 99
Pilihan warna dalam instax mini 99

Ia juga mempunyai Mod Vignette yang mengurangkan pendedahan di bahagian tepi gambar untuk beri fokus kepada bahagian tengah gambar. Ekspresi cetakan boleh berubah berdasarkan keadaan penggambaran bagi membenarkan pengguna mencetak gambar yang unik.

Fungsi-fungsi yang ada dalam kamera sebelum ini juga masih ditawarkan seperti Kawalan Kecerahan (Brightness Control) serta mod Landskap, Makro, Dalam Bangunan, Sukan, Pemasa Kendiri serta Bulb dan Pendedahan Berganda (Double Exposure).

Contoh gambar dalam mod Landskap, Makro, Sukan, Pendedahan Berganda dan Bulb

Jika anda lebih gemar simpan gambar yang diambil dengan instax mini 99 ke dalam telefon pintar, anda boleh gunakan aplikasi instax UP! yang membenarkan anda mengimbas dan menyimpan gambar cetakan instax untuk penukaran digital yang mudah.

Rekaan kamera ini pula mempunyai sudahan matte yang menyerupai kulit untuk genggaman yang selesa dan reka bentuk klasik.

Seiring dengan pelancaran kamera ini, Fujifilm Malaysia turut melancarkan filem format mini Photo Slide yang boleh digunakan bersama mini 99.

instax mini 99 akan dijual di Malaysia pada harga RM928, manakala filem format mini Photo Slide instax akan dijual pada harga RM39. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version