Fujitsu telah memperkenalkan FMV Zero Lifebook WU5/J3 iaitu komputer riba 14 inci paling ringan di dunia dengan berat hanya 634 gram. Peranti ini dibina dengan gabungan ciri mudah alih, ketahanan dan AI. Diperbuat dengan gentian karbon, WU5/J3 memenuhi piawaian MIL-STD-810H gred tentera yang memberikan ketahanan terhadap jatuh, hentakan dan tekanan.
Lifebook menawarkan pilihan konfigurasi pemproses Intel Core Ultra 5 125U atau Intel Core Ultra 7 155U. Kedua-duanya dilengkapi dengan AI Boost NPU bersepadu untuk pecutan perkakasan dipertingkatkan ciri dipacu AI seperti CoPilot dalam Windows 11 dan Office 2024. Ia juga mempunyai pilihan RAM antara 8GB hingga 64GB dan storan SSD daripada 256GB hingga 2TB.
WU5/J3 dilengkapi dengan banyak alat berkuasa AI terbina dalam. Ciri seperti pembatalan hingar membantu menyekat bunyi latar belakang semasa panggilan video dan pengguna boleh log masuk dengan cepat menggunakan cap jari atau pengecaman muka.
Ia menawarkan dua port USB-A dan dua USB-C, port HDMI bersaiz penuh, port Ethernet, slot microSD dan bicu audio. Hayat bateri WU5/J3 boleh bertahan antara 6 hingga 11 jam mengikut cara kegunaan. Pada masa ini, FMV Zero WU5/J3 hanya tersedia untuk tempahan di Jepun dengan harga 197,900 yen (~RM5,695).
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Fujitsu

