Site icon TechNave BM

Fungsi Super Follow dalam Twitter mungkin dilancar kelak, tawarkan kemudahan mirip OnlyFans

Sejak bulan Februari lagi, Twitter dilihat sedang mengusahakan fungsi berbayar buat para penggunanya seperti Super Follow, Tip Jar dan Twitter Blue. Mereka masih belum melancarkan fungsi-fungsi ini secara rasmi, namun seorang pengkaji aplikasi telah mendedahkan beberapa fungsi awal yang akan ditawarkan dalam Super Follow.

Super Follow hanya akan dihadkan kepada pengguna yang mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut, telah memuat naik sekurang-kurangnya 25 ciapan dalam tempoh masa 30 hari dan berumur 18 tahun ke atas. Jika seorang pengguna mengaktifkan fungsi Super Follow, mereka bakal menawarkan ciapan eksklusif kepada pengikut Super Followers sahaja.

Super Follow juga boleh dikategorikan mengikut jenis kandungan yang dikongsi, seperti sukan, podcasting, haiwan peliharaan, filem, gaming, fotografi dan kandungan matang (adult content). Pengguna juga boleh menghubungkan akaun Super Follow mereka dengan perkhidmatan media sosial luaran seperti Facebook, Patreon, Twitch dan OnlyFans.

Jika pengguna Twitter yang biasa ingin mengikuti sebuah akaun yang menawarkan langganan Super Follow, mereka perlu membayar sejumlah wang yang kemudian akan menjadikan mereka “Super Follower” dan mendapat kandungan eksklusif daripada akaun yang diikuti.

Adakah anda berminat dengan fungsi terbaru daripada Twitter ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version