Site icon TechNave BM

Gabungan Digi-Celcom kini kembali dalam perbincangan selepas batal pada 2019

Pada bulan lalu, syarikat telekomunikasi tempatan Axiata Group Bhd yang memiliki Celcom dan syarikat telekomunikasi dari Norway, Telenor ASA, yang memiliki Digi dikhabarkan sedang mempertimbangkan semula penggabungan di antara dua konsortium itu selepas ia dibatalkan pada 2019. Hari ini, kedua-dua syarikat sudah pun mengesahkan pertimbangan tersebut namun masih belum mencapai kata sepakat untuk sebarang penggabungan.

Dalam sebuah siaran media, kedua-dua pihak kini sedang berada dalam perbincangan mendalam (advanced discussions) untuk penggabungannya yang akan menghasilkan syarikat baru bernama Celcom Digi Berhad. Setakat ini, mereka sudah pun bersetuju dengan pelantikan jawatan-jawatan tertinggi syarikat baru itu termasuklah Dato’ Izzaddin Idris sebagai pengerusi dan Idham Nawawi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO).

Jika penggabungan ini diteruskan, Axiata dan Telenor masing-masing bakal memiliki syer yang bersamaan dengan 33.1% daripada syarikat baru itu. Telenor dan Axiata sedang memuktamadkan persetujuan akhir yang mungkin akan diselesaikan sekitar suku kedua 2021.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang penggabungan dua syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Telenor

Exit mobile version