Site icon TechNave BM

Gadis 16 tahun maut selepas mencuba cabaran “scarf game” yang tular di TikTok

Seorang gadis berumur 16 tahun di Perancis telah meninggal dunia selepas beliau mencuba sebuah trend yang tular di TikTok, bernama scarf game.

Pada 27 Mei, badan Christy Sibali Dominique Gloire Gassaille telah ditemui di rumahnya selepas beliau dipercayai mencuba trend tersebut, di mana ia mencabar pengguna TikTok untuk melilit kain di sekeliling leher untuk menyekat pengaliran oksigen dan menyebabkannya untuk pengsan.

Tindakan ini sangat membahayakan kerana ia boleh menyebabkan sawan, kecederaan serius dan kematian. Setakat ini TikTok masih tidak mengetahui bagaimana trend sedemikian boleh popular di platform tersebut, namun syarikat itu telah memadamkan semua kandungan yang berkaitan dengannya.

Ini adalah trend TikTok terbaru yang sangat berisiko tinggi, selepas trend tali gantung buatan sendiri (makeshift noose) yang popular pada awal tahun ini. Beberapa pengguna TikTok telah meninggal dunia akibat mencuba trend tersebut, termasuklah dari Argentina, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

TechNave berharap para pembaca tidak mencuba sebarang trend yang boleh menyebabkan kemalangan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: New York Post

Exit mobile version