Site icon TechNave BM

Galaxy Z Fold3 mungkin telefon Samsung pertama dengan kamera swafoto bawah skrin

Samsung kini dilapor sedang membangunkan dua telefon lipat yang akan dilancar pada tahun ini iaitu Samsung Galaxy Z Flip3 dan Samsung Galaxy Z Fold3. Beberapa gambar untuk Fold 3 telah pun tertiris di mana ia menunjukkan ciri-ciri utama untuk telefon lipat tersebut.

Gambar tersebut diambil daripada bahan-bahan pemasaran yang akan digunakan dalam pengiklanan Fold3. Ia memaklumkan bahawa Fold3 bakal menjadi telefon lipat pertama dalam dunia yang dilengkapi kamera swafoto di bawah skrin (under display).

Selain itu, Fold3 juga akan menyokong penggunaan stilus S Pen, sesuatu yang ketinggalan dalam Galaxy Z Fold2 pada tahun lepas. Fold3 mungkin akan menyertakan stilus Hybrid S Pen yang tidak mempunyai mata pen halus supaya ia tidak merosakkan skrin lipat pada telefon tersebut.

Di belakang, bonggol kamera Fold3 menampilkan tiga lensa dan satu lampu kilat LED. Rupa bonggol kamera tersebut berbeza dengan siri Galaxy S21 yang mempunyai bonggol kamera Contour Cut, di mana ia adalah sebahagian daripada rangka telefon tersebut.

Fold3 dijangka akan dilancar pada bulan Julai dan spesifikasi utamanya sudah pun mendapat pengiktirafan 3C di China. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sammobile

Exit mobile version