Site icon TechNave BM

Gambar beratur di BSN palsu, elakkan kesesakan, boleh ambil wang di mana-mana cawangan ATM

Mungkin bermula semalam, penularan gambar-gambar rakyat yang kelihatan beratur di Bank Simpanan Nasional (BSN) mula menjengah setiap laman media sosial terutamanya WhatsApp. Gambar tersebut memaparkan barisan yang panjang dan menampakkan keadaan yang agak sesak. Keadaan ini didakwa berlaku berikutan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) fasa pertama yang bermula kelmarin (6 April).

Walau bagaimanapun, BSN memaklumkan bahawa gambar yang dikongsikan berikutan keadaan di cawangan-cawangan BSN adalah tidak benar. Keadaan di cawangan-cawangan BSN adalah terkawal. Pihak BSN dengan kerjasama PDRM & RELA akan memastikan penjarakan sosial dipatuhi, jumlah pelanggan di dalam premis bank dihadkan dan pelanggan dinasihatkan untuk memakai topeng muka (mask) sepanjang masa.

TIDAK BENAR

Tambah BSN lagi, rakyat boleh menyemak baki akaun melalui perbankan internet dan pengeluaran wang boleh dilakukan di mana-mana ATM rangkaian MEPS seluruh negara. Untuk yang masih tidak tahu, yuran MEPS RM1 telah dimansuhkan buat sementara. Dengan ini, anda boleh mengambil wang di mana-mana ATM berdekatan tanpa sebarang yuran tambahan.

Untuk maklumat mengenai BPN, anda boleh semak di sini. Kami sarankan agar anda tidak menyebarkan terlebih dahulu mana-mana maklumat yang tidak pasti kebenarannya. Kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: sebenarnya.my

Exit mobile version