Site icon TechNave BM

Gambar komputer Samsung Galaxy Book Pro tertiris sebelum Unpacked minggu depan

Samsung sudah pun menjelaskan bahawa mereka akan menganjurkan sebuah acara Galaxy Unpacked pada 28 April ini yang mungkin akan menyaksikan pelancaran komputer riba Galaxy Book Pro. Kini pengkhabar berita teknologi Evan Blass telah berkongsi beberapa gambar yang beliau katakan merupakan rupa Galaxy Book Pro dan Galaxy Book Pro 360 yang mungkin akan dilancar oleh Samsung pada hari tersebut.

Menurut gambar tersebut, siri Galaxy Book Pro menampilkan binaan yang ringan dan nipis, dengan saiz papan kekunci penuh. Galaxy Book Pro adalah sebuah komputer riba biasa, manakala Galaxy Book Pro 360 pula mempunyai engsel yang boleh diputar 360 darjah untuk membuatkannya boleh digunakan seperti tablet termasuk sokongan stilus S Pen.

Gambar ini serupa dengan gambar yang telah dikongsi oleh badan pengiktirafan SafetyKorea sebelum ini.

Setakat ini spesifikasi penuh untuk Galaxy Book Pro masih belum diketahui, namun ia dijangka akan dilengkapi pemproses Intel generasi ke-11, GeForce MX450 untuk varian atasan, port Thunderbolt 4, dan pilihan skrin di antara 13 inci atau 15 inci.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer riba Samsung dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Authority

Exit mobile version