Site icon TechNave BM

Gambar LG Wing yang baru paparkan antara muka unik untuk dwi-skrin tersebut

Telefon dwi-skrin dengan reka bentuk yang amat unik, LG Wing, akan dilancarkan esok (14 September) namun pelbagai maklumat awal tentang telefon tersebut telah pun didedahkan kepada umum. Terbaru, gambar yang telah dibocorkan ke internet menunjukkan sistem antara muka (UI) yang unik untuk memanfaatkan skrin berbentuk ‘T’.

UI tersebut menunjukkan paparan UI yang berasingan antara dua skrinnya. Skrin yang mendatar menunjukkan susunan ikon mirip televisyen pintar (Smart TV), manakala skrin yang menegak menunjukkan ikon dan widget seperti telefon pintar biasa. Sebelum ini, terdapat video menunjukkan sebuah game lumba kereta yang memanfaatkan dwi-skrin tersebut, di mana kedua-dua paparan menunjukkan paparan yang berasingan.

Selain itu, sumber juga menunjukkan perbandingan saiz di antara LG Wing dengan sebuah lagi telefon dwi-skrin ternama, Samsung Galaxy Z Fold2. Kedua-dua telefon mempunyai dimensi yang lebih kurang sama, walaupun LG Wing nampak lebih panjang sedikit berbanding Z Fold2.

Adakah anda merancang untuk mendapatkan LG Wing jika ia dijual di Malaysia? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version