Site icon TechNave BM

Gambar Nothing Headphone (1) tertiris, tampilkan rekaan lutsinar mirip Nothing Ear

Nothing bakal melancarkan fon kepalanya yang pertama, Nothing Headphone (1) pada 1 Julai 2025, namun syarikat teknologi itu masih belum mendedahkan maklumat rasmi mengenainya. Kini beberapa gambar yang menunjukkan rekaan luaran fon kepala itu telah pun tertiris dalam Instagram dan ia menunjukkan falsafah rekaan yang sinonim dengan produk Nothing.

Berdasarkan gambar yang tertiris, Headphone (1) bakal ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan putih. Seperti produk-produk Nothing sebelum ini, ia mempunyai rekaan lutsinar yang menampakkan komponen dalamannya.

Fon kepala ini boleh dilipat supaya ia lebih rata dan mudah disimpan, manakala bahagian atas dan tepi mempunyai kusyen yang agak tebal untuk pemakaian selesa. Terdapat juga bicu audio 3.5mm untuk mereka yang gemarkan fon telinga berwayar.

Satu aspek yang membuatkannya nampak unik dengan fon kepala lain adalah adalah rekaan berbentuk petak pada sebelah earcup. Ini pasti akan mengundang pelbagai pendapat daripada para peminat Nothing.

Nothing Headphone (1) dikhabarkan akan dijual pada harga bermula USD275 (~RM1,170), membuatkannya lebih murah berbanding fon kepala premium jenama lain. Selain itu, ia juga dikhabar telah dibangunkan bersama syarikat audio dari United Kingdom (UK), KEF.

Ini tidak memeranjatkan kerana Nothing telah mengumumkan kerjasamanya dengan KEF, namun mereka masih belum menamakan sebarang produk yang dibangunkan hasil daripada kerjasama ini.

Adakah anda berminat dengan fon kepala ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version