Site icon TechNave BM

Gambar peranti gaming Lenovo Legion bocor, bahagian belakang lutsinar bersama 2 port USB Type-C

Terdahulu, kami telah memaklumkan mengenai khabar angin gambar peranti gaming Lenovo Legion bersama aksesori gamingnya. Gambar tersebut tidak memperlihatkan panel belakang peranti dan spesifikasi lain. Kini tular, sumber melaporkan beberapa gambar telefon pintar Lenovo Legion yang muncul pada laman web paten China (CNIPA).

Melalui gambar di bawah, anda dapat melihat beberapa pilihan warna pada peranti ini, merah dan kelabu bersama bahagian belakang lutsinar. Bahagian hadapan peranti dilihat mempunyai bezel pada bahagian atas dan bawah, membuatkan peranti kelihatan panjang. Apa yang menariknya, kamera selfie diletakkan pada bezel atas. Ini bermakna paparan tidak akan terganggu dengan kamera bertakuk!

Jika anda perhatikan, terdapat perkataan ‘COOL’ pada bahagian belakang lutsinar peranti. Kami menjangkakan ini adalah tanda kepada sistem penyejukannya. Melalui paten ini, bahagian kanan sebelah tepi memperlihatkan butang sensitif khas untuk gaming, butang power, butang volume dan penggelongsor (mungkin untuk mod bunyi/senyap atau notifikasi). Sebelah kiri peranti memperlihatkan port USB Type-C kedua, manakala bahagian bawah peranti memperlihatkan dulang SIM, port USB Type-C utama dan gril pembesar suara (gril pembesar suara juga ada pada bahagian atas).

Sepintas lalu, peranti gaming Lenovo Legion ini dijangka bakal hadir dengan cipset Snapdragon 865, bateri 5050mAH bersama pengecasan pantas 55W, sekurang-kurangnya dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Apa pun, nantikan maklumat rasminya melalui Rakan Teknologi Utama Malaysia.

Adakah anda teruja dengan peranti gaming Lenovo Legion ini? Beritahu kami di laman Facebook sekarang!

Sumber: pricebaba

Exit mobile version