Site icon TechNave BM

Garmin Approach S72 dan Enduro 4 dilancar di Malaysia, fokus Golf dan sukan ekstrem bermula RM3,599

Garmin secara rasmi membawa masuk dua jam tangan pintar kategori prestasi ke pasaran Malaysia iaitu Garmin Approach S72 dan Garmin Enduro 4. Garmin Approach S72 direka khas untuk pemain golf dengan paparan skrin sentuh AMOLED, bezel titanium ringan serta tali fabrik ComfortFit.

Jam ini dilengkapi lebih 43,000 peta padang golf pra-muat di seluruh dunia, analisis metrik putting, fungsi Virtual Caddie dan imej pandangan udara. Ia turut menawarkan ketahanan bateri sehingga 16 hari dalam mod jam pintar serta lampu suluh LED terbina.

Garmin Enduro 4 pula ditawarkan bagi penggemar sukan ekstrem dan larian jarak jauh. Ia menampilkan lensa nilam pengecasan solar yang mampu memberikan ketahanan bateri sehingga 90 hari dalam mod jam pintar atau sehingga 320 jam dalam mod GPS. Jam turut disokong teknology pemetaan TopoActive berbilang benua, navigasi SatIQ multi-band serta ciri pemantauan beban latihan Pack Weight.

Kedua-dua model telah dimuatkan dengan fungsi pemantauan kesihatan 24 jam termasuk pemantau kadar degupan jantung, pemantau tahap oksigen Pulse Ox, Sleep Coach dan penganalisis variasi pernafasan. Ciri keselamatan seperti pengesanan insiden dan penghantaran lokasi masa nyata juga disediakan.

Garmin Approach S72 dijual pada harga RM3,599 manakala Garmin Enduro 4 ditawarkan pada harga RM3,899. Kedua-dua peranti kini boleh didapati menerusi kedai dalam talian rasmi Garmin serta pengedar sah di seluruh negara. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version