Garmin Malaysia hari ini telah melancarkan Garmin Enduro iaitu jam tangan pintar dengan GPS bagi membantu para atlit untuk menjejak latihan mereka dengan lebih tepat. Selain itu, ia turut dilengkapi fungsi yang dikhaskan untuk sukan jarak jauh termasuklah bateri yang boleh dicas menggunakan tenaga suria agar ia boleh bertahan sehingga 65 hari.
Jam ini dilengkapi pengukur V̇O₂ Max untuk menjejak penggunaan oksigen sewaktu bersenam dan ia boleh dilaraskan mengikut suhu persekitaran dan altitud. Daripada segi sukan, ia dilengkapi ClimbPro untuk memberi informasi tentang pendakian bukit, Ultrarun Activity untuk mengukur masa berehat dalam larian ultra jauh dan Mountain Biking untuk mengukur kesukaran laluan basikal lasak.
Ia juga mempunyai pengukur masa berehat untuk mencadangkan masa rehat yang sesuai kepada pengguna selepas sesi senaman. Bagi mereka yang inginkan cadangan senaman, Garmin Enduro boleh memberikan cadangan yang sesuai berdasarkan status dan bebanan latihan yang ditetapkan.
Untuk mereka yang kerap bersukan dalam kawasan hutan, Garmin Enduro turut mempunyai fungsi GPS untuk mengetahui kedudukan pengguna pada setiap masa, sensor ABC yang boleh mengukur perubahan ketinggian, barometer untuk meneliti cuaca dan kompas elekronik tiga paksi.
Garmin Enduro boleh dibeli bermula hari ini pada harga RM3,699 di Lazada, Shopee, AECO dan semua pengedar sah. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

