Google melancarkan Gemini Spark di Malaysia iaitu sebuah agen AI latar belakang yang berfungsi secara berterusan 24 jam sehari untuk menguruskan tugasan digital kompleks pengguna.
Dikuasakan oleh model Gemini 3.6 Flash, ia direka untuk mengendalikan tugas harian seperti menyaring e-mel, menyusun jadual acara, menyemak resit langganan dan mendraf jawapan pertanyaan pelanggan. Gemini Spark beroperasi secara automatik pada latar menerusi infrastruktur awan Google walaupun peranti ditutup atau telefon dikunci.
Sistem ini terhubung secara terus dengan aplikasi Google Workspace seperti Gmail, Google Docs dan Google Sheets tanpa memerlukan persediaan tambahan. Agen AI akan berjalan sepenuhnya di bawah arahan pengguna di mana pengguna menentukan aplikasi yang disambungkan.
Gemini Spark dirancang untuk meminta kebenaran pengguna terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan berisiko tinggi seperti menghantar e-mel atau membuat transaksi kewangan. Gemini Spark kini mula ditawarkan kepada pelanggan langganan Google AI Pro dan Google AI Ultra di Malaysia serta menyokong antaramuka dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

