Site icon TechNave BM

Gionee M30 diumumkan dengan bateri 10,000mAh, cas pantas 25W berharga ~RM844

Mungkin ada yang sudah pernah melihat jenama ini tampil di berita pada mana-mana laman teknologi, atau ini kali pertama anda melihatnya. Gionee kini melancarkan Gionee M30, sebuah peranti dengan kehadiran bateri besar 10,000mAh, mampu menjadi seperti powerbank untuk peranti anda yang lain.

Mungkin kerana kapasiti baterinya yang besar, Gionee M30 adalah sedikit berat, seberat 305g. Namun, ia hadir dengan reka bentuk menarik, bersama litupan kulit pada belakang peranti. Ia dijana cipset MediaTek Helio P60, RAM 6GB dan storan 128GB yang boleh diperluas melalui slot mikroSD.

Apa yang menariknya, bateri berkapasiti 10,000mAh ini boleh mengecas peranti anda yang lain melalui kabel USB. Ciri yang turut hadir pada Gionee M30 adalah bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo, pengecasan pantas 25W dan kamera utama 16MP dan kamera swafoto 8MP.

Setakat ini, ia secara rasminya diumumkan di pasaran China dan akan mula dijual pada 31 Ogos 2020 dengan harga 1399 Yuan (~RM844). Apa pun, kami masih ketiadaan maklumat berkenaan kehadirannya di Malaysia.

Apakah pendapat anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: IT Home

Exit mobile version