Site icon TechNave BM

Go-Kart pakai VR? Evolt XR bawa pengalaman “gaming” ke tahap baharu di Malaysia

Satu pengalaman hiburan baharu berkonsepkan realiti campuran kini tiba di Malaysia menerusi pelancaran Evolt XR yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan permainan realiti maya (VR) dalam satu platform interaktif. Diperkenalkan di Evolt Karting, Selangor, konsep ini menampilkan dua tarikan utama yang direka untuk mengubah cara pengguna bermain, bersaing dan bersosial.

Tarikan utama ialah XR Go-Karting yang disifatkan sebagai pengalaman pertama seumpamanya di Malaysia. Berbeza dengan go-kart standard, pengguna memandu kart elektrik sebenar sambil memakai set kepala VR dan membolehkan mereka berlumba dalam persekitaran digital sepenuhnya.

Trek maya, halangan dan elemen kompetitif dipaparkan secara masa nyata untuk memberikan pengalaman pelbagai deria yang menggabungkan pemanduan fizikal dengan permainan imersif. Melengkapkan penawaran ini ialah XR Laser Tag iaitu pengalaman berbilang pemain yang berlangsung dalam dunia sci-fi futuristik.

Pemain bergerak secara fizikal dalam arena sebenar manakala setiap pergerakan diterjemahkan ke dalam permainan digital. Ia menampilkan pertempuran pemain lawan pemain (PvP) dengan gabungan elemen permainan video dan aksi dunia sebenar yang menjadikan pengalaman laser tag lebih dinamik dan interaktif.

Sempena pelancaran, Evolt XR menawarkan diskaun sebanyak 30% bagi setiap pembelian sesi go-karting sepanjang tempoh promosi sehingga 30 April 2026. Buat masa ini, pengalaman ini hanya ditawarkan secara eksklusif di lokasi utama Evolt Karting di Selangor. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version