Site icon TechNave BM

Google akan hasilkan tablet Pixel yang dilengkapi cipset Tensor pada 2023

Selepas kegagalan tablet Pixel Slate dan mengatakan bahawa ia tidak akan membuat peranti tablet lagi, Google kini berubah dengan mengatakan akan menghasilkan tablet Android sekali lagi dan akan mengeluarkan tablet Pixel kelas premium tahun depan. Mengacah semasa acara Google I/O, tablet itu akan mengikuti barisan telefon pintar Pixel dan dilengkapi cip Tensor.

Tidak banyak butiran diberikan mengenai tablet yang akan datang semasa acara itu. SVP peranti dan perkhidmatan Google, Rick Osterloh, berkata tablet Pixel ialah peranti premium yang akan menjalankan versi Android Google untuk skrin yang lebih besar.

Berdasarkan paparan peranti yang diacah oleh Google, reka bentuknya kelihatan kurang menarik dengan paparannya yang mempunyai bezel yang agak tebal. Malah, ia kelihatan seperti Nest Hub dengan skrinnya dicabut daripada peranti.

Walau bagaimanapun, reka bentuk itu mungkin tidak muktamad dan ia mungkin kelihatan berbeza sepenuhnya apabila dikeluarkan pada tahun 2023. Selain itu, Google tidak menyebut sebarang butiran mengenai harga atau saiz skrinnya. Kita hanya perlu menunggu sehingga tablet Pixel dilancarkan sebelum menilainya.

Apakah pendapat anda tentang tablet Pixel Google ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Exit mobile version