Site icon TechNave BM

Google akan lancarkan 6 fungsi Android baharu sebelum ketibaan Android 12

Google telah pun menunjukkan pratonton untuk sistem operasi Android 12 dalam acara Google I/O pada bulan lalu, namun mereka masih akan melancarkan beberapa fungsi baru dalam Android 11 sebelum sistem operasi seterusnya diedarkan.

Fungsi pertama adalah amaran gempa bumi Android Earthquake Alerts System yang akan diperkenalkan dalam semua negara. Walaupun Malaysia bukanlah negara yang mempunyai risiko tinggi terhadap gempa bumi, ia adalah fungsi yang penting jika kita melancong ke negara yang mempunyai risiko tersebut.

Fungsi kedua adalah Star dalam aplikasi Messages yang membenarkan pengguna untuk membintangkan mesej yang penting agar ia boleh dirujuk semula dengan mudah pada masa akan datang.

Fungsi Contextual Emoji Kitchen juga akan dilancarkan untuk aplikasi Gboard versi beta dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Portugis. Ia mencadangkan emoji dan membenarkan pengguna untuk memilih emoji sesuai dengan lebih cepat berdasarkan konteks mesej yang ditaip.

Google juga telah memperbaharui sistem bantuan suara (voice assistant) agar pengguna boleh mengakses pelbagai aplikasi dengan lebih mudah. Sebagai contoh, pengguna boleh mengatakan “Hey Google, check my miles on Strava” untuk melihat jarak perjalanan basikal dalam lock screen.

Di samping itu, Voice Access pula bertujuan untuk membantu pengguna yang kurang upaya untuk menggunakan fungsi telefon pintar dengan hanya menggunakan suara mereka.

Buat pengguna Android Auto, Google akan memperkenalkan mod gelap serta pembukaan media dengan lebih mudah melalui scroll bar A ke Z dan fungsi back to top. Google juga akan memudahkan perhubungan di antara kereta dengan Android Auto untuk pengguna yang mengaksesnya buat pertama kali. Aplikasi pengecasan, navigasi dan parking juga akan diperkenalkan untuk kenderaan elektrik.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi-fungsi baru ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google Blog

Exit mobile version