Site icon TechNave BM

Google Chrome perkenalkan 2 mod baharu untuk jimatkan bateri dan penggunaan RAM

Bagi menambah baik pengalaman penggunaannya, pelayar web Google Chrome akan memperkenalkan dua mod baharu yang bertujuan untuk menjimatkan bateri dan penggunaan memori dalam komputer iaitu Memory Saver Mode dan Energy Saver Mode.

Mod Memory Saver bertujuan untuk meningkatkan prestasi komputer buat para pengguna yang kerap membuka banyak tab serentak. Apabila mod ini diaktifkan, Chrome akan membuang memori daripada tab yang tidak digunakan supaya pengguna boleh menggunakan komputer dengan lebih lancar.

Apabila tab tersebut dibuka semula, Chrome akan memuat semula (reload) kandungan web yang dipaparkan sebelumnya. Mod ini amat bernilai jika pengguna turut membuka perisian lain sewaktu melayari laman web, seperti penyunting video atau permainan video.

Mod Energy Saver pula dikhaskan untuk komputer riba supaya hayat bateri boleh dipanjangkan. Apabila hayat bateri mencapai 20%, Chrome akan mengehadkan aktiviti latar belakang dan efek visual khas dalam laman web yang dibuka supaya ia dapat mengurangkan beban terhadap bateri.

Google akan menawarkan kemas kini Chrome ini dalam minggu-minggu terdekat untuk para pengguna komputer Windows, macOS dan ChromeOS.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mod baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version