Site icon TechNave BM

Google cipta cip kuantum Willow, 13,000 kali lebih pantas daripada superkomputer

Pasukan Quantum AI Google mencapai satu kejayaan besar dalam bidang komputer kuantum dengan memperkenalkan Willow iaitu cip superconducting 105-qubit yang dilapor mampu menjalankan sesetengah pengiraan sehingga 13,000 kali lebih pantas daripada superkomputer paling berkuasa di dunia.

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Nature yang menjelaskan bahawa kelebihan kuantum kini boleh dibuktikan secara praktikal dan boleh disahkan. Berbeza dengan cip Sycamore keluaran 2019 yang hanya menunjukkan “supremasi kuantum” pada ujian rawak semata-mata, Willow berjaya melaksanakan algoritma Quantum Echoes iaitu satu ujian bagi mengukur tahap kekacauan kuantum.

Kejayaan ini membolehkan simulasi struktur molekul dan tingkah laku elektron dijalankan dengan ketepatan jauh melebihi pendekatan tradisional. Ahli fizik utama projek, Michel Devoret, menyifatkan Willow sebagai bukti bahawa litar elektrik kini boleh berfungsi seperti “atom buatan” dan membuka ruang penyelidikan baharu terhadap interaksi atom tanpa bergantung pada anggaran teori lama.

Setiap qubit pada cip ini mampu berada dalam pelbagai keadaan serentak dan saling terikat membolehkan pengiraan dilakukan merentasi berjuta kemungkinan pada masa yang sama. Willow juga mencatat ketepatan operasi 99.97% bagi gerbang tunggal dan 99.88% untuk pengikatan qubit. Kaedah ini adalah ukuran penting bagi mengurangkan ralat apabila sistem diperbesarkan.

Ia berpotensi mempercepat penyelidikan dalam penemuan ubat, pembangunan bahan baharu, reka bentuk bateri dan superkonduktor lebih cekap. Malah, kaedah kuantum juga boleh membantu latihan AI dengan menangani pengoptimuman kompleks menggunakan tenaga lebih rendah.

Walaupun begitu, para penyelidik menegaskan bidang ini masih jauh daripada lengkap terutama dalam usaha membangunkan qubit stabil dengan pembetulan ralat penuh. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version