Google secara rasmi melancarkan integrasi keupayaan jana imej berasaskan AI menerusi model Nano Banana 2 ke dalam platform Google Earth versi web. Ciri baharu ini memanfaatkan data imejan satelit, udara dan pemetaan 3D Google Earth bersama Nano Banana untuk menghasilkan visual berkonsepkan lokasi fizikal sebenar.
Pengguna hanya perlu zum pada mana-mana lokasi di Google Earth versi web, menekan butang “create image” dan memasukkan arahan teks bagi menghasilkan imej yang diingini. Antara kegunaan utamanya termasuk visualisasi tapak bersejarah mengikut zaman, penghasilan infografik tempat bernombor, imej janaan reka bentuk hartanah dan perancangan seni bina di kawasan tanah kosong.
Sistem ini turut memanfaatkan sokongan pemprosesan maklumat daripada Gemini apabila pengguna meminta penghasilan infografik bagi mendapatkan fakta berkaitan lokasi secara automatik. Selain fungsi profesional dan pendidikan, pengguna juga boleh menghasilkan visual rekaan semula lokasi semasa kepada tema futuristik atau fiksyen.
Ciri penjanan imej Nano Banana di Google Earth mula ditawarkan secara rasmi bermula hari ini kepada semua pengguna Google Earth versi web di peringkat global. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Google

